Thursday, October 22, 2009

Peragut mati ditembak, rakan lepas lari

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dipercayai peragut ditembak mati, manakala seorang lagi dapat melepaskan diri selepas mereka menetak seorang anggota polis yang cuba menahan mereka, dengan senjata tajam di Jalan Persiaran Seri Alam, Bandar Seri Alam, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian sejurus selepas tembakan dilepaskan anggota polis yang bertindak mempertahankan diri selepas nyawanya terancam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal, berkata pihaknya menerima aduan orang awam mengenai dua lelaki yang sering melakukan jenayah ragut berparang dengan menaiki motosikal Yamaha LC135 warna biru di sekitar kawasan Taman Johor Jaya, di sini.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, tiga anggota polis Balai Johor Jaya dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) yang masing-masing menunggang motosikal terserempak dengan dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang menunggang sebuah motosikal di Jalan Dedap 9, Taman Johor Jaya.

Beliau berkata, sebaik dihampiri polis motosikal yang ditunggang kedua-dua suspek terus bertindak memecut dan menghimpit salah satu motosikal polis menyebabkan seorang anggota polis berkenaan jatuh dan tercedera pada tangan.

"Berikutan itu, polis terpaksa mengejar suspek terbabit sejauh kira-kira 15 kilometer yang melalui Jalan Masai Lama sebelum sebuah motosikal yang ditunggang polis berjaya menghampiri mereka di Jalan Persiaran Seri Alam.

"Pembonceng motosikal Yamaha LC135 itu terus melibas parang ke arah anggota polis selepas rakannya bertindak menghimpit motosikal mereka ke arah motosikal polis menyebabkan anggota polis berkenaan terpaksa mengelak dan melepaskan tembakan, " katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Amer berkata, pihaknya kini terus memburu suspek yang masih bebas.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi talian hotline IPK di 07-2212999 atau datang mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

No comments:

Post a Comment